Saturday, April 20, 2013

DEFINISI DAN KONSEP MEMBACA


DEFINISI DAN KONSEP MEMBACA

Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca adalah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain. Membaca dapat membantu memperluaskan pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu dalam pelbagai bidang. Membaca ialah proses kebalikan daripada proses menulis. Proses membaca memerlukan seseorang itu menterjemahkan kembali lambang-lambang bertulis kepada lambang-lambang bunyi yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Membaca berbeza daripada mendengar kerana ia melibatkan kedua-dua aktiviti verbal dan literasi secara serentak. Apabila kita membaca kita akan menghuraikan bahan bercetak kepada pertuturan dan pada masa yang sama kita akan menghuraikan pertuturan itu kepada pemikiran.

Takrif Membaca
Ada banyak huraian berkaitan takrif membaca. Menurut kamus Dewan edisi Empat, ’baca’ ditakrifkan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Robert Lado (1964) menyatakan membaca sebagai mengungkap pola-pola bahasa daripada bentuk tulisannya manakala Steinberg (1982) mendefinisikan proses membaca sebagai satu bentuk komunikasi dan tujuannya adalah memberikan maklumat melalui bentuk-bentuk bertulis. Menurut Zulkifley Hamid (1994) pula, beliau menyatakan membaca sebagai proses pembaca mengenal lambang-lambang tulisan,menterjemahkannya kepada bentuk bunyi yang dilambangkan dan mendapatkan makna bagi bentuk tulisan tersebut.

            Membaca dimaksudkan sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambang-lambang bercetak dan bertulis (Harris dan Sipay, 1980). Proses membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang itu mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk itu dengan bunyi ataupun makna yang diketahui melalui pengalaman dan akhirnya berupaya mentafsirkan maksudnya. Marohaini Yusoff (1989) pula telah merumuskan proses membaca sebagai perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Terdapat dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca.
Mengikut Solâh (1981) dan Abdul Aziz (1993) kefahaman dalam bidang bahasa dikaitkan dengan dua kemahiran berbahasa sahaja iaitu mendengar dan membaca. Ini adalah berdasarkan kepada kepekaan pendengar dan pembaca iaitu ketika melakukan aktiviti mendengar dan membaca, masing-masing menggunakan deria pendengaran dan deria penglihatan untuk memahami apa yang didengar dan apa yang dibaca. Oleh itu,kemahiran mendengar dan kemahiran membaca mempunyai persamaan dari aspek kefahaman bahasa.

Bagi Smith dan Johnson (1980) pula, membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis denga tanggapan yang dibuat oleh pembaca. Di samping itu, Goodman (1973) pula menyatakan membaca adalah proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Ini menunjukkan melalui proses itu wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran kerana hubungan hubungan antara bahasa dengan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang lebih luas. Kita menggunakan bahasa bagi melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda.

Kesimpulannya, membaca adalah satu proses yang kompleks yang mana sesuatu isi atau maklumat yang bermakna disampaikan melalui lambang-lambang bertulis. Hal ini kerana proses membaca terdiri daripada gabungan beberapa proses yang kompleks, iaitu proses sensori, proses pengamatan, proses bahasa, dan proses kognitif. Setiap proses memainkan peranan penting dalam proses membaca secara keseluruhan.



No comments:

Post a Comment